KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengalami kerugian RM3,500 selepas diperdaya seorang individu yang menyamar sebagai kawan baiknya pada Isnin.

Suspek menyamar sebagai rakan karib mangsa yang merupakan pegawai kepada seorang ahli Parlimen.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek telah meminta untuk meminjamkan sejumlah wang daripada mangsa sebanyak tiga kali pada hari sama melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, terpedaya dengan penipuan itu, mangsa telah membuat pemindahan wang secara dalam talian sekitar RM3,500.

"Kes masih lagi di dalam siasatan dan kami masih belum tahu bagaimana suspek memperoleh nombor telefon mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Eng Lai berkata, modus operandi sebegitu sudah sering kali digunakan tetapi masih ada yang lalai.

"Kes menyamar untuk minta duit ini sudah lama wujud. Tetapi bila kita dengar kawan, kawan baik pula kita rasa kasihan dan tidak siasat dengan lebih lanjut," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berjaga-jaga sebelum membuat sebarang pemindahan wang walaupun kepada kenalan.

"Bila ada panggilan daripada rakan menggunakan nombor telefon yang tidak dikenali pastikan kita semak dahulu.

"Hubungi kawan kita itu dahulu dan pastikan itu adalah mereka," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian