GERIK: Seorang lelaki yang menyerang anggota tentera menggunakan parang di Kem Batalion ke-4 Rejimen Sempadan dekat sini, petang semalam, maut ditembak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 35 tahun itu disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Gerik.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan mengenai lelaki berkenaan yang bersenjatakan parang, cuba menceroboh kawasan tersebut dengan memanjat pagar pintu hadapan kem kira-kira jam 6.45 petang.

Katanya, anggota tentera yang melakukan kawalan telah memberi amaran tetapi lelaki berkenaan bertindak agresif dengan menyerangnya, menggunakan senjata yang dibawa.

“Di dalam pergelutan itu, anggota tentera pos pengawal terbabit telah melepaskan tembakan dan mengenai lelaki tersebut.

“Pihak tentera kemudiannya memaklumkan kejadian yang berlaku kepada pihak polis serta menghantar lelaki tersebut ke Hospital Daerah Gerik untuk mendapatkan rawatan yang kemudiannya telah disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, hasil siasatan mendapati lelaki tersebut merupakan bekas anggota tentera yang pernah berkhidmat pada 2003 dan telah ditamatkan perkhidmatan pada tahun 2013 kerana mempunyai masalah kesihatan mental.

“Pihak polis telah ke lokasi bagi menyiasat punca sebenar kejadian serta telah merampas beberapa barang berkaitan kes tersebut,” ujarnya.

Katanya, pihak polis masih menunggu laporan bedah siasat forensik yang akan dilakukan hari ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Kes disiasat di bawah Seksyen 9 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Menurut Mior Faridalathrash, pihak polis akan melengkapkan kertas siasatan dan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Dalam masa sama, beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga boleh menjejaskan siasatan.