KUALA LUMPUR: Empat lelaki warga Bangladesh ditahan selepas disyaki terlibat dengan penculikan dan pemerasan terhadap rakan senegara.

Polis menerima laporan kejadian pada jam 12.05 tengah malam Khamis daripada seorang lelaki warga Bangladesh yang menyatakan seorang pekerjanya hilang dan dipercayai diculik sejak 27 Ogos lalu.

Dia mendakwa dimaklumkan tentang kejadian penculikan itu daripada isteri mangsa yang berada di Bangladesh.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, mangsa berusia 39 tahun itu telah dilarikan dua lelaki warga Bangladesh ketika berada di kawasan Jelok Ria.

Suspek kemudian menghubungi isteri mangsa untuk memasukkan wang tunai 1 juta taka (kira-kira RM50,000) ke dalam akaun bank Bangladesh.

"Isteri mangsa yang ketakutan telah melakukan transaksi tersebut ke atas satu akaun bank tempatan Bangladesh yang tidak dikenal pasti.

"Namun selepas tiga hari diculik, suspek telah meminta tambahan sebanyak 1 juta taka untuk membebaskan mangsa yang disembunyikan.

"Akibat kehabisan duit, isteri mangsa telah menghubungi pengadu untuk meminta bantuan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Bertindak atas maklumat diberikan pengadu, Mohd Zaid berkata Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah berjaya menahan empat suspek di hadapan sebuah kedai di TTDI Grove Kajang kurang 24 jam selepas aduan dibuat.

Tambahnya, suspek turut membawa polis ke kawasan perumahan di Bandar Teknologi Kajang dan menemukan mangsa di dalam sebuah bilik kecil di tingkat atas rumah dalam keadaan lemah dengan kedua-dua tangan bergari serta kaki dirantai.

"Semasa mangsa diselamatkan, seorang wanita warga tempatan yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek turut ditangkap.

"Kesemua suspek yang berusia 30an hingga 40an akan dihadapkan ke Mahkamah Kajang bagi tujuan tahanan reman pada Jumaat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini diseru tampil membantu pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis terdekat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 365/384 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah, serta Seksyen 384 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan pemerasan.