KUALA LUMPUR: Pertimbangan untuk Lembah Klang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah realistik berdasarkan kadar individu dewasa yang telah divaksinasi di kawasan berkenaan.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Malina Osman berpendapat, dengan liputan vaksinasi yang tinggi, beberapa sektor boleh dibuka dan dilonggarkan di Lembah Klang, meskipun ketika ini kes masih lagi menunjukkan peningkatan.

"Kes tinggi pada masa ini disebabkan oleh wabak berpanjangan. Maksudnya, kalau kita lihat di Lembah Klang, suasana wabak ini dilalui sejak bulan Oktober tahun lepas, kita telah mengalami siri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehinggalah kepada PKP 2.0 dan PKP 3.0.

"Kita memahami bahawa mereka yang berada di Lembah Klang yang teruk terjejas akibat situasi yang berpanjangan sebegini.

"Jadi, saya berpendapat dari segi kesihatan awam, adalah satu perkara yang realisitik," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat Lembah Klang kini sudah boleh beralih ke Fasa 2 PPN susulan kadar vaksinasi yang telah melebihi 80 peratus.

Perdana Menteri berkata, perkara itu bagaimanapun akan diputuskan dalam perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 bersama barisan kabinet yang akan dipengerusikannya nanti.

Dr Malina menambah, prosedur operasi standard (SOP) masih perlu diteruskan meskipun Lembah Klang telah beralih ke Fasa 2.

Ini kerana, ia bagi mengelakkan penularan atau kluster baharu memandangkan sebahagian kecil masih belum menerima vaksin.