KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini menzahirkan kerisauan terhadap trend kes mahkamah yang melepaskan individu berprofil tinggi, atau penyokong parti pemerintah, hanya dengan memulangkan wang yang diseleweng, atau dengan hanya membayar kompaun.

Dalam satu kenyataan hari ini, majlis itu berkata, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun perlu memberi penjelasan, memandangkan keputusan untuk mendakwa atau menarik pendakwaan terhadap seseorang itu terletak di tangan Peguam Negara.

Selain itu, ia berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga seakan-akan acuh tidak acuh dengan trend terbaharu itu.

“Terbaharu adalah kes yang melibatkan Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian merangkap Setiausaha Agung UMNO yang didakwa menerima sejumlah wang dari Datuk Seri Najib Razak yang dipercayai dana 1MDB.

“Ahmad telah dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan tersebut setelah beliau membayar kompaun walaupun perbicaraan telah bermula, walaupun media melaporkan pada mulanya beliau enggan membayar kompaun, dan mahu kes ini dibicarakan,” menurut kenyataan itu lagi.

Pada 29 September lepas, Mahkamah Tinggi telah membebaskan Ahli Parlimen Pontian itu daripada pertuduhan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan memberi penyataan palsu kepada SPRM

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Maslan berikutan tertuduh bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta.

SPRM dalam kenyataan susulan pula berkata, tindakan kompaun terhadap Ahmad merupakan satu tindakan punitif.

Suruhanjaya itu berkata, berkata tindakan sama turut dilakukan terhadap mana-mana individu yang terlibat dan merupakan satu bentuk pemulangan aset di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

BACA: Ahmad Maslan bebas tuduhan gagal isytihar RM2 juta, beri kenyataan palsu 

BACA: Kompaun terhadap Ahmad Maslan adalah tindakan punitif – SPRM 

Dalam pada itu, Majlis Presiden berkata, Peguam Negara perlu menjelaskan apakah ini akan menjadi operasi prosedur standard (SOP) baharu terutama bagi kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang lain.

Majlis itu berkata, ia seolah-olah SOP itu membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan membayar balik sebahagian daripada "barang kes" tersebut.