KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini bersetuju agar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih Parlimen, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 76, Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Terdahulu usul itu dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN - Larut) bagi tempoh Parlimen Keempat Belas.

"Mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 76, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya memohon mencadangkan supaya Ahli Yang Berhormat Tuan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bagan di lantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih di bawah Peraturan Mesyuarat 76..

“... untuk tempoh Parlimen Keempat Belas, bagi menggantikan Yang Berhormat Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Larut," menurut usul itu lagi.

Melalui kelulusan usul tersebut, komposisi ahli jawatankuasa kini terdiri daripada empat Ahli Parlimen dari Blok Kerajaan dan dua Ahli Parlimen dari Blok Pembangkang.

Selain Datuk Azhar Azizan Harun yang bertindak sebagai pengerusi, jawatankuasa itu turut dianggotai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN – Gombak), Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS – Petra Jaya), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN – Bagan Datuk), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PN – Marang), dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH – Port Dickson).