Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas dua pertuduhan iaitu melupuskan dua tanah lot milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta kepada syarikat pemaju pada 2015 dan 2017.

Lim membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibacakan di hadapan hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid pagi ini.

Mengikut pertuduhan pertama Lim dituduh melupuskan harta milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu di Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timur Laut, Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM135,086,094 kepada syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula beliau dituduh melupuskan harta milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang, iaitu di Lot Tanah No. H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timur Laut, Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM73,668,986.00 kepada syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Nilai anggaran kedua-dua tanah yang dilupuskan itu adalah sebanyak RM208,755,080.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar di George Town pada 17 Februari 2015.

BACA: Penyokong kumpul bersolidariti bersama Guan Eng di pekarangan Mahkamah Butterworth

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Wan Shaharudin Wan Ladin, Francine Cheryl Rajendram dan S. Selvaranjini.

Manakala Lim diwakili barisan peguam Gobind Sing Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan Sivanesan Achalingam.

Mahkamah membenarkan Ahli Parlimen Bagan itu diikat jamin sebanyak RM1 juta bagi kedua-dua pertuduhan berserta dua penjamin.

Kes itu akan disebut semula pada 12 Oktober depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada 7 Ogos lalu, Lim didakwa atas tuduhan mengaku tidak bersalah meminta rasuah daripada seorang pengarah syarikat iaitu 10 peratus daripada keuntungan berhubung projek terowong bawah tanah.

Pada 10 Ogos, Lim didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan menerima rasuah RM3.3 juta berkaitan projek sama.