GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini menafikan dakwaan beliau telah melanggar tempoh kuarantin kendiri yang bermula 1 hingga 10 September.

Sebaliknya, Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau hanya dimaklumkan mengenai kemungkinan menjadi kontak rapat dengan pesakit COVID-19 pada 2 September selepas beliau menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Jelasnya, selepas menerima berita tersebut, beliau hanya berada di rumah untuk kuarantin kendiri  dan kemudiannya diuji negatif.

BACA: Langgar kuarantin kendiri: Polis ambil keterangan Lim Guan Eng 10 Sept

Menurut Guan Eng, pada 6 September, Kementerian Kesihatan secara rasmi telah mengeluarkan arahan memaklumkan dia perlu kuarantin diri selama 10 hari (1 hingga 10 September) dan mewajibkan dia memakai gelang merah jambu.

Selain itu, Ahli Parlimen Bagan berkenaan turut menafikan beliau telah keluar secara terbuka untuk mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi di kawasan Parlimen Bagan pada 2, 4 dan 8 September.

Jelasnya, hantaran Facebook yang menunjukkan dia mengedar bungkusan makanan tersebut adalah program pengedaran bungkusan makanan yang dibuat sebelum 31 Ogos lepas.

Jelasnya, wakil rakyat DAP seperti Phee Boon Poh, Soon Lip Chee dan Sateesh Muniandy serta penerima yang hadir juga dapat membuktikan pengedaran bungkusan makanan yang dilakukan pada atau sebelum 31 Ogos.