LIMA'23 sedia platform terbaik, beri nafas baharu industri maritim, aeroangkasa - Loke

Bernama
Mei 22, 2023 22:15 MYT
Loke berkata pelabur tempatan dan asing boleh memanfaatkan perkembangan terkini industri maritim dan aeroangkasa di Malaysia. - Gambar Bernama
LANGKAWI: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23) akan menyediakan satu daripada platform antarabangsa terbaik untuk memberikan nafas baharu kepada industri maritim dan aeroangkasa yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata, LIMA'23 adalah platform baik untuk mengembangkan potensi peluang perniagaan dalam industri dengan sinergi yang efektif antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan serta agensi dan pihak berkepentingan yang berkaitan.
"Kementerian Pertahanan meliputi 60 peratus daripada segmen pertahanan dan keselamatan dalam LIMA'23, manakala Kementerian Pengangkutan mengendalikan 40 peratus lagi bagi segmen komersial industri maritim dan aeroangkasa," katanya pada majlis perasmian pembukaan LIMA'23 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) pada Isnin.
Hadir sama ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Loke berkata sektor komersial bagi maritim dan aeroangkasa akan menumpukan kepada produk dan perkhidmatan teras, perkhidmatan sampingan, kemajuan teknologi dan pendidikan terkini serta peluang akademik dan kerjaya.
Beliau berkata pelabur tempatan dan asing boleh memanfaatkan perkembangan terkini industri maritim dan aeroangkasa di Malaysia.
"Satu daripada projek mega dalam sektor maritim adalah pembangunan yang dicadangkan di Pelabuhan Pulau Carey yang boleh mengukuhkan status Pelabuhan Klang sebagai hab marin utama bagi Asia Tenggara," katanya.
Dalam sektor penerbangan, Loke berkata pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor akan menjadi satu pencetus perubahan berikutan lapangan terbang itu akan dijadikan hab penerbangan serantau dengan kapasiti maksimum sebanyak lapan juta penumpang setahun yang berpotensi melahirkan ribuan pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran tinggi di Malaysia.
Bertemakan "Neksus Perdagangan Maritim dan Aerangkasa Asia," Loke berkata LIMA'23 dijangka menarik kehadiran lebih 45,000 pelawat perdagangan dan 250,000 pengunjung awam.
"Sebagai pempamer, anda akan berpeluang untuk menjadikan organisasi anda dikenali oleh pasaran yang pelbagai pada acara antarabangsa.
"Ini sejajar dengan Dasar Pengangkutan Negara untuk menggalakkan pengantarabangsaan perkhidmatan pengangkutan," kata Loke.
LIMA'23 disertai lebih 525 pempamer termasuk 140 syarikat daripada industri pertahanan, 101 syarikat sektor komersial dan 284 syarikat daripada kedua-dua sektor.
Acara itu akan turut menyaksikan 18 negara menyediakan pavilion negara antaranya Australia, China, Republik Czech, Finland, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Netherlands, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.
-- BERNAMA
#COVID-19 #LIMA'23 #pendidikan #Industri Pertahanan