BATU PAHAT: Keghairahan lima lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun berlumba motosikal dan melakukan aksi berbahaya ala 'superman' di Parit Raja, di sini mengundang padah apabila ditahan polis, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kesemua suspek warga tempatan berusia 17 hingga 39 tahun itu ditahan dalam operasi khas dijalankan antara 11 malam hingga 4 pagi.

Beliau berkata mereka didapati menunggang motosikal dengan laju dan melakukan aksi berbahaya termasuk menukar laluan tanpa memberikan isyarat serta berpatah semula untuk beberapa pusingan.

"Aksi berkenaan amat berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. Operasi membenteras aktiviti kurang sihat ini adalah susulan maklumat daripada orang ramai sekitar Pekan Parit Raja-Ayer Hitam selain ia turut tular di media sosial," katanya dalam kenyataan hari ini

Beliau berkata kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 42(1) Pindaan 2020 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan pertama boleh dihukum tidak kurang lima tahun penjara dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sehingga lima tahun.

Selain itu, pihaknya turut menyita lima motosikal dan sebuah kereta.

-- BERNAMA