KUALA LUMPUR: Lima individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan penipuan melalui penggunaan fail "Android Package Kit" (APK) yang boleh mengakibatkan mangsa kehilangan wang daripada akaun bank mereka.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata tiga lelaki dan dua wanita berusia 17 hingga 21 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara ketika serbuan dilakukan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 24 Ogos lepas.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kesemua mereka beroperasi dengan mencipta akaun palsu di laman sembang (chatting) terkenal.

"Mangsa yang ingin berkenalan dengan lebih rapat kemudiannya ditawarkan untuk melihat gambar serta video mereka melalui aplikasi lain yang akan dihantar melalui fail APK.

"Selain itu, mangsa juga dikehendaki untuk membuat pembelian token sebelum boleh mengakses aplikasi tersebut. Aplikasi yang berjaya dipasang akan mengakibatkan berlaku transaksi pengeluaran wang dari akaun mangsa," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan kaitan antara sindiket itu dengan kes penipuan lain masih dalam siasatan.

Noorsiah berkata sebagai langkah pencegahan, orang ramai diseru untuk sentiasa berwaspada dan mengambil tindakan antaranya tidak memuat turun fail APK yang dihantar terus ke telefon pintar oleh individu yang tidak dikenali.

"Elakkan memuat turun aplikasi APK dari sumber tidak sah atau mencurigakan. Keselamatan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) pada telefon pintar hendaklah sentiasa dipelihara kerana ia akan menerima SMS 'One Time Password' (OTP) daripada pelbagai aplikasi di telefon pintar anda," katanya.

Beliau berkata untuk mendapatkan maklumat dan nasihat lanjut, orang ramai boleh menghubungi "CCID Scam Response Center" di talian 03-26101559 atau 03-26101599.

-- BERNAMA