Beberapa menteri kanan Sarawak yang sebelum ini menjalani Notis Tinggal Di Rumah (SHN) didapati negatif ujian saringan COVID-19.

Mereka adalah dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, serta Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa, Industri Terminal dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais.

Turut disahkan negatif, Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep.

Perkara itu disahkan sendiri kelima-lima wakil rakyat berkenaan ketika dihubungi Astro AWANI.

Difahamkan keputusan ujian saringan Covid-19 itu diperoleh pada Selasa.

Datuk Mohd Naroden Majais ketika dihubungi Astro AWANI berkata beliau bersyukur dengan keputusan ujian tersebut.

"Alhamdulillah agak lega rasanya apabila dapat tahu keputusan (COVID-19) negatif," katanya.

BACA: Awang Tengah diarah jalani kuarantin di rumah

Beliau memohon agar masyarakat sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain melakukan penjarakan sosial antara satu sama lain.

Ia katanya bagi mengelak sebarang kontak rapat sekali gus memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Sarawak.