BESUT: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Besut telah mengendalikan lima kes pengunjung disengat ubur-ubur merah ketika mandi di pantai di sini dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, kejadian terbaharu dilaporkan berlaku pada 5 dan 7 Jun lalu di dua lokasi berbeza iaitu di Pulau Rhu dan Pantai Bukit Keluang.

Menurut Ramlan, kes pertama melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dari Tanah Merah, Kelantan yang sedang mandi bersama keluarga pada jam 11.45 pagi di Pulau Rhu.

“Kita menerima aduan dari orang awam memaklumkan mangsa mengalami alergi di seluruh badan selepas disengat ubur-ubur dan penyelamat pantai APM Besut telah memberi bantuan sebaik saja mangsa tiba dengan bot,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, dua hari kemudian pihaknya menerima aduan sama membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang sedang mandi di Pantai Bukit Keluang pada jam 6.50 petang.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua kanak-kanak tersebut dilaporkan stabil selepas penyelamat pantai APM Besut memberi rawatan awal kepada mangsa.

Jelas beliau, sebelum ini tiga kes sengatan ubur-ubur dipercayai dari jenis ubur-ubur merah atau dikenali sebagai Irukandji direkodkan berlaku pada bulan lalu di Pantai Bukit Keluang.

“Kita harap pengunjung lebih berhati-hati semasa mandi di dua lokasi tersebut dan sentiasa memantau anak-anak serta ahli keluarga masing-masing ketika mandi.

“Jangan sesekali pegang atau dekati ubur-ubur dan jika berlaku kecemasan, segera hubungi penyelamat pantai APM bagi mendapatkan bantuan awal,” katanya.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian