KAMPAR: Lima buah rumah di Jalan Wah Long, New Wah Long dekat sini, hampir musnah sepenuhnya akibat dijilat api dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar telah menerima panggilan kecemasan itu pada jam 2.10 pagi.

Katanya kejadian kebakaran itu mengakibatkan kelima-lima rumah berkenaan musnah 90 peratus.

“Kebakaran melibatkan lima rumah teres Kelas B berkeluasan 20X60 kaki dan sebuah rumah teres Kelas A.

“Lima rumah musnah 90 peratus manakala sebuah lagi rumah hanya musnah 4 peratus iaitu hanya mengenai pagar sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya operasi turut melibatkan bantuan anggota dan jentera dari BBP Gopeng dan Tapah.

“Ketika di lokasi pasukan penyelamat membuat pemadaman menggunakan empat aliran 200 kaki dan lima pancutan sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Kejadian itu tidak mengakibatkan kehilangan nyawa ataupun kecederaan mangsa,” katanya lagi.

Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Hisyam Zakaria itu tamat pada jam 5.03 pagi.