Lima termasuk seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 13, Jalan Kuantan-Temerloh, Maran.

Kemalangan membabitkan kenderaan jenis Perodua MyVi, Proton Iswara dan kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux, itu turut menyebabkan tiga lagi cedera.

Kesemua yang maut itu adalah dari satu keluarga termasuk seorang kanak-kanak lelaki adalah dari kenderaan Perodua Myvi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad, memberitahu pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 2.48 petang.

Berdasarkan laporan awal, lima mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian telah dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat, manakala tiga lagi mangsa yang cedera dalam kemalangan itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) untuk rawatan lanjut.

Semua identiti mangsa belum dikenal pasti dan pihaknya sudah menyerahkan kes itu kepada pihak polis bagi tujuan siasatan.