Warga India maut dalam kemalangan

REMBAU: Lima lelaki warga India maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung di Km240.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), arah selatan berhampiran susur keluar Pedas-Linggi, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Toyota Altis dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Singapura.

Mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai D.P. Devakumar, 23, berasal dari Tamil Nadu; V. Raghunathan, 28, dari Chennai; K.S. Suresh, 29, dari Sendamangalam dan R. Aanand Meenakshi, 23, berasal dari Delhi.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai K. Vijaykarthik, 27, dari Tamil Nadu meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban.

Jurucakap polis berkata kejadian berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran Singapura itu berpusing beberapa kali.

Katanya kenderaan itu kemudian terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter dan terbalik berhampiran anak sungai.

"Akibat kemalangan itu empat mangsa tercampak keluar dari kenderaan terbabit manakala seorang lagi ditemui tersepit di dalam kereta dan kesemua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau DSP Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu punca kejadian masih dalam siasatan.

Katanya, keempat-empat mangsa yang maut di tempat kejadian dibawa ke Hospital Tampin, dekat sini untuk bedah siasat.