KUALA LUMPUR: Peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah meningkat kepada 83.9 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku kedua tahun lepas.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerusi jawapan disiarkan dalam laman sesawang Parlimen memaklumkan setakat suku kedua tahun ini, kadar penembusan jalur lebar mudah alih di Sabah adalah 88 peratus bagi setiap 100 penduduk dan jalur lebar talian tetap adalah 20.9 peratus bagi setiap 100 premis.

KKMM turut memaklumkan sebanyak 52 tapak menara baharu telah disiapkan, selain 2,337 projek naik taraf stesen pemancar dan 109,408 premis tersedia gentian optik di negeri itu.

KKMM memaklumkan ini antara inisiatif menambah baik infrastruktur digital di Sabah melalui inisiatif JENDELA di bawah Fasa 1, setakat 31 Okt lepas.

"Secara umumnya pelaksanaan kesemua inisiatif JENDELA ini telah bermula sejak September 2020 dan inisiatif yang dalam perancangan akan siap secara berperingkat hingga penghujung 2022.

"Perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi satelit pula kini dalam proses pelaksanaan dan dijangka akan siap secara berperingkat bermula November 2021 hingga awal 2022," katanya.

Kementerian itu memberi maklum balas bagi menjawab soalan dikemukakan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang bertanyakan kadar penembusan jalur lebar mudah alih, Internet dan jalur lebar berkelajuan tinggi di Sabah dan langkah menambah baik kualiti perkhidmatan di negeri itu.

KKMM memaklumkan selain pembinaan menara telekomunikasi dan satelit, kerajaan turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP).

Kaedah ini menggunakan hab gentian optik sebagai alternatif dalam memastikan jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar dapat diperluaskan ke kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk dengan lebih baik.

"Pelaksanaan ini akan menjadikan lokasi berhampiran sekolah luar bandar sebagai hab untuk menyediakan infrastruktur jalur lebar gentian optik untuk kegunaan sekolah, kawasan perindustrian, premis-premis kerajaan berhampiran dan masyarakat sekelilingnya," menurut jawapan itu.

KKMM memaklumkan sekurang-kurangnya 432,300 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila projek ini siap menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut kementerian itu, keseluruhan jumlah PoP di kawasan luar bandar di Sabah adalah 695 dan daripada jumlah itu, sebanyak enam PoP berada di Parlimen Sepanggar.

-- BERNAMA