TAWAU: Usaha untuk memperluaskan penanaman koko hendaklah dilakukan untuk memenuhi keperluan dan mengurangkan import biji koko dari negara luar.

Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Ramle Kasin berkata, ketika ini pengeluaran koko negara hanya 1,000 tan metrik dan negara terpaksa mengimport biji koko dalam jumlah yang banyak untuk memenuhi keperluan hiliran.

"Dari segi hiliran Ini, keperluannya adalah 350,000 tan metrik yang diperlukan dalam setahun namun kita hanya dapat membekalkan dalam 1,000 tan metrik sahaja.

"Selebihnya itu kita terpaksa import dari negara luar dan itu sebabnya kita nampak keperluan itu," katanya.

Katanya atas keperluan itu, LKM di peringkat pusat akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah untuk memperluaskan kawasan penanaman koko.

Kajian juga sedang giat dilakukan supaya penanaman koko seiring dengan penggunaan teknologi moden untuk memperbanyakkan hasil biji koko yang ditanam.

"Di Malaysia ini kita ada lebih kurang 6,000 hektar lebih kawasan penanaman koko pada ketika ini dan melalui kerjasama dengan kerajaan persekutuan, terutama dari Pusat Perladangan dan Komoditi dan Lembaga Koko ini.

"Kita bersama-sama dengan kerajaan negeri supaya mengadakan satu kawasan tanah yang dapat ditanam dengan koko bersama dengan tanaman yang lain yang dapat mengeluarkan dan menghasilkan lagi lebih banyak biji koko untuk menampung apa jua kekurangan," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Hari Terbuka dan Inovasi LKM Tawau di Pusat Penyelidikan Koko Batu 10, Jalan Apas, Tawau pada Sabtu.