KUALA LUMPUR: Pemimpin atau parti politik tidak wajar menggunakan pengaruh atau memberi tekanan kepada universiti hanya semata untuk menganugerahkan ijazah doktor kehormat kepada individu politik.

Apatah lagi untuk mengurniakan anugerah berprestij itu kepada individu yang tidak layak atau kurang sesuai dengan tahap yang dimiliki seseorang individu itu.

Mesej tegas itu disuarakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose susulan laporan yang mengaitkan tindakan pemimpin politik yang melobi ingin mendapatkan anugerah tersebut.

"(Penganugerahan) ini boleh datang dari orang perniagaan, akademik, industri, termasuk ahli politik... kita tidak boleh diskriminasi orang politik dengan mengatakan mereka tidak layak.

"Cuma, jangan salah guna kuasa politik untuk mendapat, atau memberi tekanan, atau apa cara sekalipun yang ada unsur-unsur untuk mempengaruhi (universiti).

"Sudahlah tidak layak atau kurang sesuai, tetapi dengan menggunakan unsur-unsur atau pengaruh untuk mendapatkan anugerah itu," tegas beliau ketika dihubungi Astro AWANI.

Bagaimanapun beliau menjelaskan bahawa kuasa penganugerahan ijazah kehormat ini adalah kuasa institusi.

"Saya dengar dari berita-berita umum mengatakan, (tindakan melobi) ini berlaku di sebuah institusi yang terkenal.

"Ini perlu diteliti terutama sekali apabila ia melibatkan universiti awam terutama universiti-universiti bertaraf universiti penyelidikan.

"Ini kerana orang awam akan fikirkan bahawa ijazah kehormat itu adalah sesuatu yang sangat tinggi kepada institusi bertaraf itu," ujar beliau.

Beliau pada masa sama menasihati pemain politik untuk tidak terlalu mengejar gelaran atau penganugerahan daripada universiti.

"Semoleknya ia (anugerah) perlu datang sebagai pengiktirafan dari orang lain yang mengiktiraf kebolehan kita, dalam bidang kita.

"Namun, sehingga melakukan tindakan melobi ini, ia sudah macam tidak kena.

"Saya gusar, nanti ada orang yang menggelar seolah-olah sekuntum bungan ros, tapi tiada bau ros - bermakna anugerah itu tidak setaraf dengan diri si penerima," katanya.

Terdahulu, seorang pemimpin besar sebuah parti politik dilapor giat melobi dirinya supaya dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Islam.

Memetik laporan portal Malaysia Dateline, tindakan melobi itu didakwa dilakukan secara agresif oleh pejabat seorang menteri besar bagi membolehkan pemimpin mereka mendapat anugerah itu.