KUALA LUMPUR: Laluan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Gua Tempurung sesak sejauh 11 kilometer selepas sebuah lori yang membawa lapan motosikal terbabas.

Menurut PLUS Malaysia Berhad, nahas berlaku di kilometer 255.7 menuju ke Gua Tempurung berhampiran Terowong Menora kira-kira jam 9.50 pagi tadi..

Keadaan trafik bagaimanapun masih terkawal setakat ini dan langkah memastikan laluan kembali lancar sedang giat dijalankan.

Tiada maklumat tentang kecederaan atau kematian serta jumlah mangsa terlibat diperoleh setakat ini. 

Aliran trafik melibatkan semua laluan seluruh negara dilaporkan mula meningkat sejak semalam apabila warga kota mula membuat perjalanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Bagaimanapun, trafik di semua pintu keluar Kuala Lumpur setakat pagi tadi masih lagi lancar dan terkawal.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tawaran kadar tol percuma selama dua hari kepada pengguna lebuh raya sempena Tahun Baru Cina.

Tol percuma diberi bermula jam 12.01 pada 20 Januari (Jumaat) hingga 11.59 malam Sabtu 21 Januari melibatkan semua jenis kenderaan.

Lebih 3.8 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di seluruh negara sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.