Lori diparkir tiba-tiba terbakar, mangsa melecur kedua-dua kaki

Adie Sufian Zulkefli
Februari 25, 2020 06:03 MYT
Mohd Shukri melecur kedua-dua belah kaki selepas lori yang diparkir di tepi jalan tiba-tiba terbakar dalam kejadian di Kulim pagi ini. - Astro AWANI
Seorang lelaki melecur pada kedua-dua belah kaki selepas lori yang diparkir di tepi jalan tiba-tiba terbakar dalam kejadian di Kampung Banggol Berangan, dekat sini, hari ini.
Mangsa Mohd Shukri Abdul Manaf, 36 tahun, dilaporkan sedang mengerang kesakitan sewaktu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah tiba untuk memberikan bantuan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9 pagi.
“Sepasukan anggota bomba tiba di lokasi, mendapati kebakaran membabitkan sebuah lori tiga tan yang diletakkan berhampiran rumah.
“Anggota Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang tiba memberi rawatan awal kepada mangsa,” katanya.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.
#Hospital #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #Kedah #lori terbakar #melecur