KUALA LUMPUR: Sebuah lori kontena yang membawa muatan bahan kimia terbalik dalam nahas di Lebuhraya Kewajipan, Subang Jaya, pada Khamis.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.16 malam dan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Shah Alam bergegas ke lokasi.

"Bomba mendapati lori kontena 20 tan terbalik di sisi jalan dan berlaku tumpahan bahan kimia.

"Operasi bermula jam 9.22 malam dengan tindakan awal anggota membuat semburan air dari bekalan tangki jentera bomba.

"Pasukan Hazmat kemudian menabur soda di sekitar kawasan terkena bahan kimia sebelum membuat semburan air sekali lagi di kawasan berkenaan bagi memastikan bersih dan tiada sisa bahan kimia," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Petugas mengambil masa selama tujuh jam untuk membersihkan tumpahan bahan kimia jenis pengkakis (Virukill) itu.

Norazam berkata, operasi berkenaan tamat sepenuhnya jam 4 pagi, pada Jumaat.