Khabar terkini daripada Lotus adalah mengenai model 3-Eleven yang baharu tamat menghabiskan masa selama dua minggu di litar Nurburgring Nordschleife, Jerman.

Seperti yang biasa dilakukan oleh pelbagai pengeluar, litar ini adalah destinasi standard bagi melakukan kerja-kerja pengendalian kereta. Untuk itu, aspek-aspek aerodinamik, enjin, talaan casis dan geometri suspensi adalah antara aspek-aspek yang dikaji.

Sayang sekali pihak Lotus tidak mendedahkan masa terpantas yang mereka catat ketika dua minggu di sana. Namun, mengikut Gavan Kershaw (pengurus teknikal Lotus Motorsport dan pemandu pembangunan 3-Eleven), “Kami ada (waktu) sasaran sebelum bermula, dan kami telah mengatasinya. Kereta ini adalah hebat!”

Pemandu yang diberi tanggungjawab untuk memandu 3-Eleven ini di Nurburgring adalah Marc Basseng, pelumba professional terkenal dan dikenali sebagai antara ‘pakar’ di litar ini.

Lihat video di bawah:


Model yang dijangka akan mula pengeluaran pada awal 2016 ini adalah Lotus yang paling pantas dan paling berkuasa pernah dihasilkan Lotus. Ia dilengkapi enjin 3.5-liter V6 yang menghasilkan 450hp untuk memacu berat kering kereta kurang daripada 900kg. (Klik sini untuk artikel awal Lotus 3-Eleven)

Objektifnya sama seperti model-model lain daripada syarikat ini – memberi pengalaman memandu yang paling mengujakan. Tetapi Lotus 3-Eleven direka untuk mencapai objektif ini dengan lebih berkesan.

Harga bermula daripada £82,000 bagi versi Road, dan £115,200 bagi versi Race. (Mengikut kadar tukaran asing sekarang, harga masing-masing adalah RM521,535 dan RM732,689)