GEORGE TOWN: Terperdaya dengan janji manis seorang lelaki yang kononnya mahu menjaga dirinya meniti hari tua, seorang wanita warga emas di Pulau Pinang kerugian RM3.9 juta selepas menjadi mangsa sindiket Love Scam.

Mangsa berusia 63 tahun itu berkenalan dengan lelaki tersebut di Instagram sejak empat bulan lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejadian bermula selepas mangsa berkenalan dengan lelaki yang mendakwa berasal dari Korea Selatan dan bekerja di pelantar minyak Disember tahun lepas.

Mangsa kemudian menjalinkan hubungan cinta dengan suspek sebelum menyedari telah menjadi mangsa penipuan selepas curiga dengan gambar lelaki yang dilihatnya di Internet.

Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis pada 17 Mac lepas sebaik menyedari ditipu lelaki berkenaan.

Mohd Shuhaily berkata, hasil siasatan menunjukkan mangsa telah membuat 184 transaksi ke dalam 19 akaun bank tempatan menggunakan wang simpanan mendiang suaminya, sepanjang perkenalan dengan suspek.

"Dia telah melakukan 184 kali pemindahan wang dalam pelbagai jumlah dengan menggunakan 19 akaun bank. Kami dapat kesan pemindahan paling rendah ialah RM9,000 dan paling tinggi RM50,000.

"Saya percaya penjenayah sedia maklum dengan kadar threshold (had pengeluaran) pihak bank yang mana mereka keluarkan dalam amaun kecil, namun demikian akhirnya mangsa tersedar apabila melayari internet dan mendapati gambar-gambar (yang diberikan suspek) agak mencurigakan... Tapi duit sudah hilang sebanyak RM3.9 juta," jelas Shuhaily.

Mangsa tidak pernah berjumpa dengan suspek secara bersemuka sebaliknya hanya berhubung melalui Instagram dan WhatsApp.

Gambar kanan ialah gambar yang diberikan suspek, rupa-rupanya disunting dari gambar lain (kiri).

"Ini adalah gambar yang digunakan, gambar lelaki muda, single, handsome, dan punya kerjaya stabil tetapi apabila kita semak, gambar tersebut adalah gambar yang telah disunting. Ia mungkin dari gambar lain. Maka, inilah modus operandi yang digunakan oleh penjenayah dalam hal menipu dan sebagainya," jelas Mohd Shuhaily lagi.

Mengulas mengenai kes berkenaan, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan janji manis daripada individu yang hanya dikenali di media sosial.

Katanya, penjenayah menyasarkan mangsa tanpa mengira faktor usia dan latar belakang.

Mohd Shuhaily berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di George Town pada Isnin.