Malaysia dan Australia akan berkongsi maklumat risikan bagi menangani isu berkaitan pendatang asing melibatkan kepentingan kedua-dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata maklumat risikan itu bagi membolehkan tindakan susulan dilaksanakan berikutan isu itu melibatkan kepentingan bersama antara kedua buah negara.

"Kita akan berkongsi maklumat perisikan sebelum keberadaan mereka menjadi pendatang tanpa izin (di Australia) yang menggunakan Malaysia sebagai transit. Maklumat ini penting meliputi tindakan susulan," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull di Bangunan Parlimen, di sini.

Di bangunan Parlimen itu, Ahmad Zahid turut menerima kunjungan hormat rakan sejawatnya Timbalan Perdana Menteri Australia Barnaby Joyce, selain menerima kunjungan hormat Menteri Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia, Peter Dutton, Menteri Kehakiman Australia Michael Keenan dan Menteri Luar Julie Bishop.

Ahmad Zahid berkata Australia melahirkan kebimbangan berikutan pendatang asing menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum memasuki negara berkenaan.

"Perkara kedua yang dicapai hari ini ialah kita mahu capai tindakan tangani masalah ini dari negara sumber permasalahan itu, kita tidak mahu negara berkenaan bertindak lepas tangan (dalam menangani isu itu)," kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata perkara ketiga yang dipersetujui menerusi pertemuannya dengan para pemimpin Australia itu hari ini ialah cadangan untuk mengadakan persidangan antarabangsa berkaitan pendatang asing dalam usaha menyelesaikan isu itu di peringkat antarangsa.

"UK (United Kingdom) sebelum ini mencadangkan persidangan itu diiadakan supaya negara-negara terlibat (turut serta) dan menyelesaikan masalah itu," katanya.

Beliau berkata Malaysia dan Australia bersetuju dan menyokong supaya persidangan itu diadakan di UK dalam mencari usaha penyelesaian lebih konkrit terhadap isu berkenaan.

Mengenai pertemuannya dengan perdana menteri Australia, Ahmad Zahid berkata Turnbull turut membincangkan mengenai usaha deradikalisasi warga asing, membanteras keganasan dan jenayah rentas sempadan.

Beliau (Turnbull) turut berhasrat berkongsi dasar yang dilaksanakan Malaysia, kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri tiba di sini semalam untuk lawatan kerja selama tiga hari bagi mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Australia dengan menumpukan kepada soal keselamatan, membanteras keganasan dan jenayah rentas sempadan.

Pada tengah hari tadi, beliau turut mengadakan pertemuan dan beramah mesra bersama pelajar Malaysia di Canberra.

Pada Selasa (esok), Ahmad Zahid akan berlepas ke Sydney untuk bertemu Gabenor New South Wales, David Hurley.

Beliau juga akan melawat Kolej Pasukan Sempadan Australia diikuti dengan majlis makan malam bersama penuntut Malaysia sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

-- BERNAMA