KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkait Perjanjian Malaysia 1963 selepas lebih dua pertiga ahli menyokong pindaan itu.

Perkara itu diputuskan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas dua kali proses undi belah bahagian dilakukan, iaitu pada bacaan kedua dan ketiga RUU itu.

Ini kerana, mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, RUU itu memerlukan sokongan dengan undian tidak kurang dua pertiga daripada jumlah ahli Majlis Dewan Rakyat.

"Sejumlah 200 Ahli-ahli Yang Berhomat bersetuju, tiada yang tidak bersetuju, manakala 20 lagi tidak hadir.

"Maka dengan itu, pindaan Perlembagaan ini mendapat sokongan dua pertiga seperti yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan," kata Adzhar ketika membacakan keputusan undi belah bahagian bagi pengundian bacaan kedua.

Undian melibatkan bacaan kali ketiga mendapat sokongan 199 ahli, tiada yang menolak dan 21 ahli tidak hadir.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung RUU tersebut berkata status sama rata bagi negeri Sabah dan Sarawak tidak pernah diperuntukkan dalam mana-mana undang-undang negara.

"Walaupun terdapat tuntutan oleh beberapa pihak agar Sabah dan Sarawak mempunyai status sama rata (equal status) dengan Persekutuan Tanah Melayu, namun, berdasarkan semakan perkara tersebut tidak diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 mahupun Perlembagaan Persekutuan, Malaysia Act dan undang-undang yang berkaitan.

"Oleh itu, cadangan dan dapatan dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold bukanlah suatu instrumen yang mengikat pihak-pihak kepada Perjanjian Malaysia 1963 dan tidak boleh mengatasi peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang," katanya ketika menggulung usul tersebut.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata adalah jelas dari segi undang-undang bahawa pada 16 September 1963, koloni 'North Borneo' dan Sarawak telah disekutukan dengan negeri-negeri sedia ada dalam Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (kemudian menjadi Negeri Sabah dan Negeri Sarawak) dan membentuk Persekutuan yang dinamai Malaysia.