PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan akan ditingkatkan pada kadar yang munasabah.

Perdana Menteri berkata, Perkara 112D itu penting kerana kerajaan perlu memberi peruntukan khas kepada kedua-dua negeri itu seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Peruntukan khas berdasarkan Perkara 112D kepada Sabah dan Sarawak ini diberikan pada jumlah RM16 juta dan RM25 juta selain harus dikaji setiap lima tahun tetapi ia tidak berlaku.

"Jadi kita hari memastikan ada peningkatan yang munasabah (pemberian khas) ini. Ini dalam MA63 dan peruntukan khas 112D yang menuntut Persekutuan memberi peruntukan khas kepada Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu.

Tambah Anwar, beliau akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching hujung bulan ini.

Katanya, ia juga akan dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Mesyuarat itu nanti kita akan perincikan perkara-perkara yang tertangguh dapat dilaksanakan termasuk Perkara 112D," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang tertangguh di Sabah akan segera dilaksanakan.