PUTRAJAYA: Jemaah Menteri menyerahkan kuasa meluluskan projek-projek bernilai bawah RM50 juta kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak.

Mengambil contoh projek pembangunan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ia tidak perlu menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan.

"Keputusan menyegerakan beberapa projek walaupun ada JKR tetapi banyak keputusan dibuat Putrajaya. Jadi walaupun peruntukan besar diberikan tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana birokrasi dan perlu merujuk ke Putrajaya.

"Jadi Kementerian Kewangan bersetuju untuk menetapkan projek bawah RM50 juta diserahkan hampir sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak dengan mematuhi peraturan-peraturan kewangan tetapi keputusan boleh dibuat di Kuching dan Kota Kinabalu tanpa dilengahkan ikut peraturan lama," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu.

Selain itu, Anwar berkata, Jemaah Menteri membincangkan mengenai keputusan menurunkan kuasa kepada bekalan gas kepada Sabah dan Sarawak.

"Kuasa gas sudah diberikan di Sarawak dan di Sabah juga telah diluluskan dalam pengumuman saya lebih awal.

"Dan awal bulan depan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan memuktamadkan (bekalan gas dan tenaga) setelah diperkenan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini," katanya.