SHAH ALAM : Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) menegur tindakan seorang pelakon bergelar Datuk yang memaparkan dirinya meletakkan seekor ular sawa di atas sangkar kucing melalui satu siaran langsung di Instagram milik selebriti itu.

Menurut MAA, tindakan itu akan mengakibatkan kucing mengalami tekanan dan trauma melampau kerana berasa terancam melihat serta bau musuh berdekatan.

Ini kerana katanya, aksi meletakkan ular sawa berdekatan kucing, walaupun dalam keadaan bersangkar boleh menyebabkan haiwan itu ketakutan memandangkan ular dan kucing adalah dua entiti pemangsa serta mangsa.

"Pelakon ini mungkin tidak memahami bahawa negara Malaysia mempunyai Akta Kebajikan Haiwan 2015 seliaan @lembagakebajikanhaiwan @dvsmalaysia_official yang melindungi haiwan domestik seperti kucing daripada didedahkan dengan bahaya seperti terkandung dalam lima Elemen Kebajikan Haiwan iaitu mengelak daripada haiwan peliharaan daripada bahaya dan ketakutan melampau.

"Selain itu, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 seliaan @perhilitan_malaysia pula menggariskan setiap haiwan liar seperti ular sawa perlu mempunyai lesen untuk memiliki haiwan liar dan mengadakan persembahan atau tayangan umum sama ada di jalanan arau media sosial," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Selasa.

MAA membuat kenyataan itu susulan tindakan pelakon yang terpalit dengan kontroversi membabitkan dirinya dan seorang pengarah filem tersohor baru-baru ini membuat siaran langsung di Instagram pada Isnin memaparkan dirinya 'bermain' dengan ular sawa dipercayai ketika menjalani sebuah penggambaran drama.

Menerusi video berkenaan, pelakon berbadan sasa itu dilihat 'bermain' dengan reptilia tersebut, selain turut meletakkannya di atas sangkar yang mempunyai beberapa ekor kucing di dalamnya.

Mengulas lanjut, MAA berkata, kesemua undang-undang haiwan yang dirangka di Malaysia ini adalah untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan kehidupan itu sama ada domestik atau liar terpelihara sesuai ketamadunan negara yang menuju ke arah kemajuan minda kelas pertama.

"Pelakon ini dinasihatkan supaya lebih peka dan sensitif dalam mengendalikan media sosial miliknya apabila melibatkan haiwan domestik serta haiwan liar.

"Diharapkan perkara seumpama ini tidak berulang dan perlu diperbaiki segera," katanya. - Sinar Harian