KUALA LUMPUR: Rakyat dan umat Islam perlu memperbetulkan niat, tekad dan usaha untuk memperbaiki diri dan amalan dalam kehidupan seharian.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini bersesuaian dengan semangat Hijrah dan mencapai hasrat 'Ummah Berkualiti' yang menjadi matlamat semua.

"Saya doakan dengan kedatangan tahun baharu Islam ini, Allah Subhana Wa Taala akan mengurniakan ke atas kita semua khususnya umat Islam keimanan dan kesabaran untuk meneruskan ikhtiar kita menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dilaksanakan pihak kerajaan dengan dukungan saudara dan saudari sekalian, Insya-Allah.

"Saya juga berdoa agar ujian ini berupaya menjadikan kita umat Islam yang lebih bertakwa dan mempunyai ketahanan jiwa serta asertif diri yang padu," katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Tahun 1443H/2021M peringkat kebangsaan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) Putrajaya pada Isnin.

Sambutan Maal Hijrah tahun ini bertemakan 'Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti'.

Ucapan Perdana Menteri sempena sambutan Ma'al Hijrah peringkat kebangsaan


Dalam pada itu kata Muhyiddin, majlis itu adalah cerminan iltizam kerajaan agar syiar Islam terus terpelihara dan dimartabatkan sejajar dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan yang dijunjung tinggi.

Beliau turut berdoa sambutan itu dapat terus dihayati dan disemarakkan umat Islam walaupun semua masih berjuang untuk menamatkan pandemik COVID-19.

Muhyiddin juga meminta umat Islam menjiwai peristiwa Hijrah yang bukan sekadar mengenang perpindahan Nabi Muhammad S.A.W. secara fizikal, dengan meninggalkan harta dan kediaman semata-mata.

Ujarnya, peristiwa Hijrah memperteguh tekad untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mengamalkan ajaran Nabi Muhammad, melakukan perubahan sikap dan tindakan kepada sifat-sifat mahmudah dan lebih baik sebagaimana dianjurkan Baginda.