INDUSTRI permainan video atau gaming pada masa kini telah berkembang dengan cukup pesat.

Mungkin ada sesetengah daripada anda tidak tahu bahawa industri gaming kini jauh lebih bernilai berbanding industri perfileman Hollywood.

Begitulah besarnya industri gaming yang kini bukan lagi menjadi tumpuan golongan remaja semata tetapi hobi golongan dewasa.

Dalam 20 tahun kebelakangan ini, kita telah melihat pelbagai jenis konsol permainan video dihasilkan oleh pengeluar terkenal bagi memenuhi permintaan yang cukup tinggi.

Foto: TinyCircuits/Solent News
Nama seperti PlayStation, Ninetendo dan X-Box cukup dikenali ramai dengan kesemuanya memiliki keistimewaan tersendiri.

Begitu juga dengan permainan video untuk PC yang tidak kurang hebatnya. Namun berbeza dengan konsol permainan video unik diperkenalkan oleh TinyCircuits berasal dari Ohio, Amerika Syarikat.

Mereka telah memperkenalkan konsol permainan video terkecil di dunia yang dikenali sebagai ‘Thumby’.

TinyCircuits merupakan syarikat inovasi yang cukup terkenal dengan pengenalan peranti bersaiz kecil.

Dan rekaan terbaharu mereka yang mengambil inspirasi dari Game-Boy ini tampil seolah-olah seperti rantai kunci atau keychain.

Foto: TinyCircuits/Solent News
Hadir dengan saiz 29.5mm x 18mm x 8.5mm, Thumby dilengkapi dengan skrin sesentuh monokrom OLED 72×40.

Malah ia juga berfungsi seakan sama dengan versi biasa Game Boy dengan dilengkapi dengan D-pad dan butang A dan B.

Bagi pelancaran pertamanya, Thumby akan dilengkapi dengan lima jenis permainan video popular iaitu TinyAnnelid, TinyDelvere, TinyTris, and TinySaur Run.

Konsol bersaiz luar biasa kecil juga telah memenangi ‘Best in Show: Most Innovative Product’ di GDex Conference baru-baru ini.

Ramai yang memuji bukan sahaja dari segi rekaan serta saiznya tetapi membantu mereka yang baru berkecimpung dalam dunia ‘coding’ berjinak-jinak dengan cara yang lebih menarik.

Thumby dilaporkan akan dijual pada harga AS$19 (RM79) dengan hanya 50 unit untuk ‘early bird’ dihasilkan.

Konsol terkecil di dunia ini juga diramalkan bakal menjadi item rebutan ramai khususnya dalam kalangan penggemar dan pengumpul item gaming di seluruh dunia.


*Artikel asal di Maskulin


Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !