KUALA LUMPUR: Penyampai radio Fizi Ali meluahkan rasa hiba dan sayunya apabila melihat suasana mangsa banjir menerusi sebuah misi banjir yang disertainya pada Khamis.

Menurut Fizi atau nama sebenanrya Mohd Hafizi Alimudin, 32, dia terpanggil untuk menyertai misi bantuan banjir setelah melihat banyak informasi tentang keperluan tenaga kerja yang dikongsikan di media sosial.

“Ini adalah misi bantuan banjir pertama saya, kalau ikutkan saya tak pernah sertai mana-mana misi bantuan sebelum ini. Bila kita tengok di media sosial kan, banyak kawasan memerlukan bantuan bukan sahaja makanan dan barangam tetapi juga tenaga kerja atau sukarelawan.

“Itulah yang membuatkan saya tergerak hati menolong mana yang mampu. Ye lah, kudrat kita ni tidak lah kuat sangat jadi mana yang boleh tolong, kita tolong,” ujar Fizi ketika dihubungi Gempak.

Tambah pemuda yang berasal daripada Johor ini lagi, dia begitu terkesan melihat kawasan perumahan mangsa yang musnah akibat daripada bencana alam.

“Pertama kali sampai di kawasan Karak dan Bentong, ya Allah tak tahu nak cakap macam mana perasaan hiba tu. Sebab bila kita masuk je kawasan tu, laluan utama memang tak boleh masuk kena pusing sikit dan bila sampai je, kita akan nampak kawasan tu dah macam mini tsunami dengan kereta di atas kereta, jalan pulak penuh dengan lumpur, pokok-pokok tumbang dan rumah roboh.

“Bila tengok keadaan macam, baru saya sedar macam ni rupanya situasi selepas banjir. Bila kita hantar barangan keperluan pada mereka, habis semua memang kita bagikan. Ya Allah kepada sesiapa yang tak terjejas tu, sekiranya tak tahu nak buat apa, boleh ramai-ramai pergi tolong mangsa banjir,” serunya lagi.

Selain menghantar barangan keperluan, Fizi bersama rakan penyampai radio yang lain turut menghulurkan tenaga membersihkan sebuah kantin sekolah yang kotor untuk digunakan sebagai penempatan sementara beberapa keluarga.

“Dalam perjalanan balik, kami ternampak satu sekolah yang kawasan kantin dia kotor. Nampak ada dua tiga orang tengah bersihkan.

“Bila saya tanya, rupanya kawasan kantin sekolah ti dibersihkan sebab ada keluarga yang akan tidur di kawasan itu nanti. Kami dalam 7,8 orang bantu bersihkan kantin tu, tolak lumpur, bersihkan pakai penyembur air sampai kawasan tersebut boleh digunakan kembali,” kongsi Fizi lagi.