BALIK PULAU: Polis berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam sindiket Macau Scam melibatkan kerugian RM37,200 dalam dua kejadian berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, dalam kes pertama, seorang lelaki yang bekerja sendiri ditahan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah tiga hari lalu untuk membantu siasatan bagi kes menipu seorang wanita yang melibatkan kerugian RM28,000.

Menurutnya, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan hasil risikan dan siasatan yang dijalankan oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis (IPD) Barat Daya.

"Suspek telah menipu kononnya mangsa yang merupakan seorang wanita terlibat dalam pengubahan wang haram dan pengedaran dadah. Menurut laporan yang dibuat, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Suspek telah menyatakan bahawa nama mangsa mempunyai cukai tertunggak sebanyak RM36,000.

"Panggilan tersebut kemudiannya disambung kepada pegawai polis yang memaklumkan mangsa turut mempunyai rekod jenayah pengubahan wang haram dan pengedaran dadah," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Kamarul berkata, mangsa yang ketakutan turut ditawarkan bantuan oleh individu bergelar datuk, lalu mempercayainya.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa telah memindahkan wang ke akaun yang diberi kononnya untuk siasatan lanjut. Dia membuat dua kali pemindahan duit dengan jumlah keseluruhan RM28,000.

"Bagaimanapun, selepas memindahkan wang tersebut, baru mangsa menyedari dirinya telah ditipu setelah terbaca penipuan berkenaan di Facebook.

"Dengan penahanan suspek, kita masih mengesan rangkaian sindiket tersebut," katanya.

Suspek kini direman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, kes kedua pula, Kamarul berkata, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an ditahan selepas dipercayai dijadikan keldai akaun oleh sindiket Macau Scam, tiga hari lalu.

Katanya, suspek ditahan untuk membantu siasatan berhubung seorang suri rumah yang mengalami kerugian RM9,200 selepas ditipu sindiket tersebut.

"Kita menerima laporan daripada mangsa yang berusia lingkungan 40-an menyatakan dia ditipu oleh sindiket Macau Scam pada September tahun lalu.

"Susulan daripada itu, kita menahan suspek untuk siasatan lanjut.

"Mengikut mangsa, dia dihubungi individu yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan polis mendakwa kononnya mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM17,670.06 selama 15 bulan," katanya.

Tambah Kamarul, suspek meminta mangsa menjelaskan tunggakan tersebut sekiranya enggan dikenakan tindakan mahkamah dan pemotongan wang dalam akaun simpanan mangsa.

"Mangsa yang bimbang dengan perkara itu terus memberi semua maklumat akaun banknya kepada sindiket itu.

"Selepas itu, mangsa mendapati duit simpanannya dalam akaun Tabung Haji berjumlah RM9,200 telah dipindahkan ke akaun bank lain tanpa pengetahuannya.

"Susulan daripada itu, dia terus membuat laporan polis selepas mendapati berlaku penipuan dalam perkara tersebut.

"Suspek kini direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian