TELUK INTAN: Seorang pelayan restoran kerugian lebih RM 94,000 akibat terperdaya dengan sindiket penipuan bungkusan yang tidak wujud minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa lelaki berusia 32 tahun itu dihubungi oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pekerja pejabat pos mengenai bungkusan atas nama mangsa.

Bagaimanapun, mangsa menafikan bungkusan itu miliknya dan tidak mahu mengambil barang berkenaan.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diberitahu kononnya telah melakukan penipuan ke atas individu lain dan boleh dituduh di mahkamah.

"Kejadian berlaku pada 24 Mei lalu pada jam 3.30 petang semasa mangsa, yang bekerja sebagai pelayan restoran di Singapura, berada di kampungnya di Teluk Intan.

"Mangsa disambungkan ke nombor telefon yang memberitahu 'dia' seorang polis berpangkat 'Sarjan' di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Seremban, mengatakan mangsa suspek utama yang telah melakukan penipuan ke atas orang lain dan boleh diambil tindakan dan dituduh di mahkamah.

"Disebabkan takut ditangkap oleh pihak polis atas kesalahan yang dinyatakan, mangsa bersetuju dengan sindiket untuk selesaikan kes berkenaan.

"Mangsa seterusnya telah diberikan beberapa akaun bank untuk membuat pindahan wang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahmad Adnan berkata, mangsa membuat 10 kali pindahan wang ke enam akaun bank berbeza, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM94,450 pada 25 hingga 29 Mei lalu.

Katanya lagi, kesemua pindahan wang tersebut dibuat oleh mangsa kepada akaun keldai yang diberikan oleh pihak sindiket.

"Semalam (Selasa), mangsa datang ke balai polis di sini untuk membuat laporan apabila berasa dirinya tertipu," katanya lagi.

Kes berkenaan diklasifikasi mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Adnan turut menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang tidak dikenali.

"Jangan layan panggilan tersebut bagi mengelakkan diri terpedaya dengan sindiket Macau Scam ini," katanya.