TELUK INTAN: Seorang pesara syarikat telekomunikasi kerugian RM60,000 apabila menjadi mangsa penipuan bungkusan yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa, lelaki berusia 72 tahun, mula dihubungi individu yang menyamar sebagai petugas di pejabat pos mengenai bungkusan yang tidak dituntut, pada 11 Mei lalu.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan kononnya di dalam bungkusan tersebut terdapat kad pengenalan, kad ATM dan cek atas nama mangsa.

Katanya, mangsa yang tidak mengaku barangan itu miliknya kemudiannya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kerana di dalam bungkusan tersebut terdapat barang terlarang.

“Pengadu telah dituduh yang dia terlibat dengan pengubahan wang haram dan kes dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa diminta menyerahkan butiran akaun miliknya bagi mengelakkan duit simpanannya dibekukan oleh Bank Negara (BNM).

Menurutnya, mangsa telah menyerahkan segala butiran akaun milik beliau kepada pihak sindiket.

Selepas itu, kata Ahmad Adnan, mangsa diminta pula untuk memindahkan wang yang sedia ada dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya ke dalam akaun yang diberikan sindiket.

Katanya, mangsa telah membuat pindahan RM30,000 kepada dua akaun keldai yang diberikan oleh sindiket pada 19 dan 20 Mei lalu yang keseluruhannya berjumlah RM60,000.

Menurutnya, mangsa kemudiannya membuat laporan polis kita-kira jam 3.55 petang semalam selepas merasakan dirinya tertipu.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya kepada panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali, bagi mengelakkan terpedaya dengan sindiket Macau Scam.