JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah mengalami kerugian RM1.03 juta selepas diperdaya satu sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mangsa yang berusia 69 tahun sebelum itu telah dihubungi seorang lelaki memaklumkan bahawa mangsa telah terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram pada awal September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, panggilan tersebut kemudian telah disambung kepada seseorang bernama 'Mr Yong' yang menyamar sebagai seorang pegawai polis.

"Mangsa yang dalam keadaan takut mengikuti arahan suspek untuk membuka akaun bank atas nama mangsa dan memberi nombor siri kad ATM dan pin akaun bank mangsa kepada suspek.

“Antara 3 hingga 17 September lalu, mangsa telah membuat pemindahan wang dari akaun OCBC, RHB, CIMB, AmBank dan Public Bank ke akaun HSBC dengan jumlah keseluruhan bernilai RM 1.03 juta.

“Mangsa juga turut menyerahkan semua TAC nombor yang diterima kepada suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Ayob Khan lagi, mangsa telah membuat semakan baki akaun bank HSBC miliknya dan mendapati baki wang telah berkurang.

“Menyedari dirinya telah ditipu mangsa bertindak membuat laporan polis pada Selasa dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Justeru orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan dan peka dengan jenayah semasa yang berlaku terutama melibatkan transaksi belian online, pelaburan dan perkenalan atas talian menerusi laman sosial agar tidak menjadi mangsa penipuan.