JITRA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yakin cadangannya berhubung skim insurans untuk pemain sektor pertanian dan agromakanan dapat direalisasikan tidak lama lagi susulan kerjasama dengan syarikat insurans di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Ronald Kiandee memaklumkan pada masa ini, model polisi insurans itu sedang dibangunkan oleh Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta penyedia insurans. 

"Sedang dalam perbincangan oleh pihak MAFI dan juga Agrobank. Kita adakan mesyuarat dan mereka telah pun membentangkan model-model yang sesuai dengan kerjasama dengan pihak industri.

"Jadi, kita bergerak ke arah negara mempunyai skim insurans untuk industri pertanian," jelas Ronald.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Penyerahan Bantuan Banjir Tabung Bencana Tanaman Padi Bulan September dan Oktober 2020 di Jitra, pada Isnin.

Ronald berkata pelaksanaan skim insurans itu bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengindustrikan sektor pertanian dan agromakanan di negara ini, khususnya dalam industri padi dan beras negara menerusi program Smart Bersawah Berskala Besar (Smart  SBB).

Katanya, Smart SBB ini bertujuan mengoptimumkan penggunaan sumber, selain meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman padi dan pengeluaran hasil.

Beliau menambah, MAFI menyasarkan peningkatan hasil purata per hektar nasional kepada tujuh tan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) berbanding 3.5 tan sekarang.

Jelasnya, dalam tempoh jangka panjang, program Smart SBB ini dijangka membantu negara mencapai sasaran SSL beras yang telah ditetapkan dalam tempoh RMK12 iaitu sebanyak 75 peratus.

"Kita mencadangkan agar kerajaan membelanja beberapa bilion ringgit untuk menambah kawasan jelapang padi yang sedia ada, bagi tujuan meningkatkan produktiviti serta tahap sara diri (SSL). Kerajaan kata jelapang padi sedia ada boleh diurus secara baik.

"Juga, SSL negara boleh dipertingkatkan kebergantungan import boleh dikurangkan dengan pengurusan tanah dan jelapang yang sedia ada, infrastruktur yang sedia ada dengan pengurusan yang lebih efisyen," tambahnya.

Mengenai penyerahan bantuan itu, Ronald berkata MAFI meluluskan peruntukan berjumlah RM2.19 juta kepada 1,009 peladang melibatkan 1,278 hektar di Kawasan Muda yang terjejas oleh bencana banjir pada September dan Oktober tahun lepas.