BELURAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah melengkapkan rantaian nilai industri walet di daerah ini dengan peruntukan sebanyak RM1.4 juta.

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, peruntukan itu disalurkan dengan pembinaan Kilang Proses Sarang Burung Walet Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran yang telah mula beroperasi sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil lepas tuai.

Jelasnya, inisiatif tersebut turut akan memberi manfaat kepada lebih 800 pengusaha sarang burung di Beluran selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada sekurang-kurangnya 50 orang anak peladang di daerah berkenaan.

“Penternakan sarang burung walet adalah satu industri yang penting, yang kini sedang diceburi secara giat oleh pengusaha-pengusaha di Sabah.

“Jadi kita harapkan dengan kewujudan kilang pemprosesan sarang burung walet yang telah pun didirikan dengan kerjasama pemain industri dan PPK Beluran yang dipantau Pejabat Peladang Beluran ini akan merangsangkan pertumbuhan industri sarang burung walet di kawasan berkenaan.

"Rantaian nilai industri walet yang dilaksanakan oleh PPK Beluran ialah penternakan burung walet, khidmat nasihat penternakan dan pemasaran burung walet, pusat belian hasil burung walet dan pusat pemprosesan burung walet,” katanya selepas merasmikan Pusat Proses Sarang Burung Walet PPK Beluran dan Pesta Walet Beluran di Tapak Tamu Beluran baru-baru ini.

Mengulas lanjut Ronald berkata, penganjuran pesta itu adalah Sempena Sambutan 50 Tahun Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP50) sekali gus mempromosi industri tersebut kepada komuniti agromakanan luar bandar yang merupakan majoriti masyarakat peladang.

“Di samping itu, pelaksanaan tersebut turut bagi menyampaikan maklumat dan hebahan tentang pendekatan termasuk dasar-dasar terkini kerajaan secara terus kepada rakyat di peringkat lapangan,” katanya.

Antara aktiviti lain yang turut dilaksanakan ialah penyerahan mock cheque kepada PPK Beluran  bagi Insentif Jentera dan Peralatan Kecil Pertanian, SMK Beluran (Program My Green Team) dan Usahawan AgroPelancongan Peladang.

Turut diadakan adalah Program Agriprentice dan Program Peningkatan Aktiviti Akuakultur,  selain penyerahan kit MAFI Prihatin.

Ronald ketika menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) pemasaran walet antara (PPK) Beluran dan syarikat Nestlin Sdn Bhd baru-baru ini.

Pada masa masa, Ronald turut menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pemasaran walet antara PPK Beluran dan Nestlin Sdn Bhd yang bernilai RM4 juta setahun untuk tempoh lima tahun.

Katanya, kerjasama itu akan memberi tumpuan dalam lima aspek termasuk perkongsian kepakaran, strategi pengurusan, perkongsian insfrastruktur, khidmat nasihat dan pemasaran hasil.

“Usaha ini akan membolehkan mereka (pengusaha sarang burung di Beluran) ketika ini menjual terus kepada PPK dengan harga yang lebih baik tanpa manipulasi daripada orang tengah.

“Di Beluran sahaja terdapat 1,100 rumah sarang burung yang diusahakan oleh penduduk Beluran dan ini merupakan 25 peratus daripada jumlah rumah sarang burung keseluruhan negeri Sabah,” katanya.

MAFI | Salur RM1.4 juta lengkapi rantaian industri sarang burung walet

*Artikel ini adalah kandungan berbayar