KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka dua kertas siasatan sejak Mei lepas berhubung dakwaan kes salah laku dan penyelewengan kewangan seperti yang dilaporkan dalam artikel 'Rahsia Mafia Korporat Malaysia, Victor Chin Boon Long Peralat Penguatkuasa Terbongkar'.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin dalam kenyataan hari ini mengesahkan PDRM menerima laporan berhubung kes itu pada 25 Mei tahun lepas.

"Laporan itu menyatakan wujud salah laku dan penyelewengan kewangan melibatkan wang berjumlah RM30.7 juta dalam pengurusan syarikat Caely (M) Sdn Bhd (Anak Syarikat Milik Caely Holdings Berhad) dan susulan itu satu lagi laporan polis telah dibuat oleh polis pada 21 Sept tahun lepas," katanya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah amanah jenayah oleh ejen dan Seksyen 201 kanun sama iaitu kesalahan menyebabkan hilangnya keterangan mengenai suatu kesalahan yang dilakukan atau memberi maklumat palsu mengenai kesalahan itu bagi mengelakkan pesalah daripada hukuman.

Katanya kes telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 27 Feb lepas untuk arahan dan keputusan lanjut.

Beberapa hari lepas, sebuah portal tular menerusi media sosial menerbitkan artikel berhubung sekumpulan individu melakukan cubaan merampas syarikat senarai awam Caely Holdings dan sebuah syarikat lain.

Kemelut perebutan mengakibatkan kejatuhan harga saham malah ia mendakwa turut membabitkan agensi penguatkuasaan, penyiasatan, penahanan dan pembekuan akaun ahli lembaga pengarah syarikat itu.

-- BERNAMA