Mana-mana syarikat dialu-alukan untuk membina lapangan terbang baharu yang lebih besar di Pulau Tioman.

Pengarah Urusan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) berkata, Datuk Mohd Badlisham Ghazali, berkata ini kerana kemudahan lapangan sedia ada tidak sesuai bagi pesawat besar untuk mendarat di pulau peranginan itu.

"Masalah di Tioman adalah tiada kawasan sesuai untuk pesawat besar mendarat kerana ia berbukit dan landasannya kecil melainkan terpaksa menambak laut untuk membesarkan landasan.

"Tetapi sudah tentu kerja menambak laut tidak diluluskan kerana ia memberi kesan terhadap laporan penilaian alam sekitar (EIA).

"Tetapi saya mengalu-alukan jika ada usahawan yang kreatif yang dapat membolehkan pesawat berat di Tioman," katanya ketika ditemui selepas taklimat bersama Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan, mengumumkan pihaknya mengemukakan permohonan pembinaan landasan kapal terbang di Pulau Tioman.

Pembinaan berkenaan katanya, akan menggunakan perbelanjaan sendiri yang dianggarkan sekitar RM1.1 bilion ke RM1.2 bilion.

Dalam pada itu jelas Mohd Badlisham, Pulau Tioman memerlukan persediaan landasan besar untuk pendaratan kapal terbang yang lebih besar.

"Dulu ada pesawat kecil yang hanya boleh bawa enam penumpang sahaja dan ia tidak mencukupi. Sekarang pesawat kena ada 20 hingga 25 penumpang.

"Kena ada landasan besar untuk membolehkan pesawat besar mendarat. Kena ada landasan besar. Mungkin ada teknik bina landasan baharu," ujarnya.

Vincent sebelum ini dilaporkan berkata, lapangan terbang itu akan diuruskan oleh kerajaan kelak dengan pihaknya memerlukan persetujuan dan tanah untuk tujuan pembinaannya.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Badlishah mengesahkan projek KLIA Aeropolis Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) Park tidak akan hentikan.

Katanya, tiada arahan atau pengumuman dari kerajaan untuk mengubah atau memansuhkan projek berkenaan.

MAHB sebelum ini dilaporkan melabur sebanyak RM800 juta akan bagi pembangunan projek itu.