Pas bersedia pada bila-bila masa untuk berdialog dengan Umno atas isu-isu melibatkan kepentingan negara terutama berkaitan isu rasuah, kata Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata, isu rasuah perlu diberi perhatian oleh pemimpin kedua-dua parti kerana ia melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

Katanya, bukan hanya Pas, malah Pakatan Rakyat juga bersedia untuk berdialog dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) jika melibatkan isu rasuah.

"Dalam soal nak berdialog dengan Umno ini saya nak tegaskan bahawa kami (Pas) sentiasa terbuka dan bersedia pada bila-bila masa jika ia melibatkan isu yang menyentuh kepentingan negara terutamanya isu rasuah.

"Kalau kita lihat, isu rasuah ini agak kritikal dan perlu diberi perhatian kalau benar Umno dan BN ikhlas mahu berdialog dengan Pas atau Pakatan Rakyat.

"Isu rasuah ini pada saya dan juga pimpinan Pas yang lain merupakan isu yang perlu diberi perhatian dan kami (Pas) sangat bersedia untuk berdialog atas isu ini," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kerjasama dan dialog antara Pas dan Umno yang kembali hangat diperkatakan dewasa ini.

Mahfuz juga menafikan laporan media yang mengatakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan Pas sedia bekerjasama dengan Umno jika dipelawa.

Sebaliknya beliau menegaskan, Abdul Hadi membuat kenyataan Pas sedia untuk berdialog dengan Umno atas isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

Beliau juga berkata, Abdul Hadi turut menjelaskan pendirian Pas sama seperti yang dipersetujui pimpinan Pakatan Rakyat yang sedia berdialog dengan BN atas isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

"Dalam sidang media malam tadi, Ustaz Hadi ditanya tentang kerjasama dengan Umno, jadi dia (Hadi) jawab Pas dan Pakatan Rakyat sedia berdialog dengan Umno dan BN atas isu besar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

"Kemudian ada wartawan tanya kalau hanya Pas dan Umno macam mana? Ustaz Hadi jawab kalau Pas dan Umno pun untuk berdialog tidak ada masalah, kalau untuk kepentingan negara dan rakyat Pas sedia berdialog dengan Umno.

"Ustaz Hadi tidak sebut kerjasama tetapi dia sebut dialog, kalau kerjasama boleh ditafsirkan lain," katanya.

Mahfuz berkata Pas tetap dengan pendirian yang telah diputuskan dalam muktamar bahawa akan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat tetapi sedia berdialog dengan parti pemerintah atas isu melibatkan kepentingan negara.

Pada Sabtu, Agensi Berita Nasional (Bernama) melaporkan Abdul Hadi membuat kenyataan Pas sedia bekerjasama dengan Umno termasuk berdialog jika dipelawa.

Katanya, PAS boleh berbincang mengenai apa sahaja isu dan sejarah membuktikan pemimpin-pemimpin PAS dan Umno boleh berada bersama di atas satu pentas.

Beliau berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah bersama dalam satu forum suatu ketika dahulu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demi kebaikan bangsa Melayu dan umat Islam, UMNO terbuka untuk bekerjasama dengan PAS.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata kerjasama antara kedua-dua pihak itu sebenarnya telah disarankan banyak pemimpin Islam.

Sehari selepas Muhyiddin membuat kenyataan, Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib menegaskan selagi ada bulan, bintang dan matahari, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Umno kecuali lawannya itu mengubah dasarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang itu berkata selama ini banyak dasar-dasar Umno yang zalim dan tidak dipersetujui PAS menyebabkan kerjasama yang diharapkan sukar untuk dilaksanakan.