KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan semula pasportnya untuk kegunaan sementara.

Ia bagi membolehkan beliau ke Singapura untuk menemani anak perempuannya yang dijangka melahirkan anak kedua tidak lama lagi.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan itu dengan menetapkan syarat bahawa Rosmah perlu mengembalikan pasport pada atau sebelum 6 Disember 2021.

"Mahkamah membenarkan permohonan pemohon dan pasport dipulangkan pada 15 Oktober (hari ini)," kata Mohamed Zaini.

Rosmah juga hanya dibenar ke Singapura dari 22 Oktober dan perlu pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021.

Namun sebelum ke Singapura, Rosmah perlu menghadiri prosiding perbicaraan bela diri yang akan bersambung pada 21 Oktober ini.

Mahkamah | Rosmah dibenar ambil pasport untuk ke Singapura


Terdahulu, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memberitahu mahkamah, anak perempuan pemohon, Nooryana Najwa sedang sarat mengandung lapan bulan dan bakal melahirkan anak keduanya di Singapura

Katanya, anak perempuan Rosmah mempunyai sejarah komplikasi berisiko tinggi ketika bersalin dan pemohon amat diperlukan berada di sisi anaknya bagi tempoh sebelum, sewaktu, dan selepas bersalin.

Sehubungan itu, peguam itu memohon pasport anak guamnya dilepaskan sementara dan akan dipulangkan pada 24 November ini.

Dalam prosiding itu permohonan tersebut tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Bagaimanapun, pendakwaan berkata pemohon tidak boleh mengganggu tarikh perbicaraan dan memohon garis masa yang ditetapkan.

Dalam prosiding hari ini, Rosmah tidak hadir dan hanya mewakilkan peguam bagi pendengaran permohonan itu.

Dalam permohonan difailkan, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau mahu menemani anaknya Nooryana Najwa yang bakal melahirkan anak kedua tidak lama lagi.

Rosmah berkata, beliau merancang perjalanan dari hujung Oktober hingga awal Disember, dan mengharapkan kerjasama polis serta Jabatan Imigresen.

Nooryana dan suaminya, rakyat Kazakhstan Daniyar Kessikbayev, kini menetap di Singapura.

Perbicaraan di hadapan Mohamed Zaini bersambung 21 Oktober ini dengan pihak pendakwaan akan menyoal balas Rosmah.

Rosmah, 69, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu menerusi bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

Rosmah dituduh melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.