Mungkin ada antara pembaca ingat mengenai hasil mendukacitakan ujian perlanggaran standard Global NCAP untuk Datsun GO dan Maruti Suzuki Swift yang dijual di dalam pasaran negara India. Bukan sahaja kedua-dua kereta kecil ini mendapat pemarkahan yang sangat rendah, Nissan GO itu juga mempunyai kerangka yang begitu lemah sehingga penambahan beg udara pun dipercayai tidak akan membawa apa-apa kesan positif.

Terbaharu yang kami dengar, India Today melaporkan bahawa sebuah mahkamah tinggi di Assam, India telah menghentikan penjualan semua kereta kecil yang mempunyai berat kurang daripada 1,500kg serta tidak menepati standard Global New Car Assessment Programme (Global NCAP).

(Hyundai i10 (kiri) dan Maruti-Suzuki Swift pasaran India ketika ujian dijalankan dengan standard NCAP. Nota: kedua-dua kereta tidak dipasang beg udara)

Mahkamah yang dimaksudkan terletak di Guwahati, bandar terbesar di negeri Assam. Assam adalah sebuah jajahan di Timur Laut negara India dan berkongsi sempadan dengan Bhutan serta Bangladesh. Dengan jumlah penduduk seramai 32 juta orang (banci 2011), Assam adalah pasaran automotif terbesar di Timur Laut India, dengan 12% bahagian pasaran negara tersebut.

Oleh itu, tindakan mahkamah ini dijangka akan memberi kesan mendalam kepada industri automotif India yang baharu melihat sedikit peningkatan setelah prestasi dua tahun yang negatif. Antara syarikat yang terlibat adalah Maruti (yang mempunyai kerjasama erat dengan Suzuki), Hyundai dan Honda.

Tindakan ini diambil ekoran petisyen yang mahu kenderaan lebih selamat bagi pengguna di India. Di negara tersebut, peraturan bagi kereta yang boleh dijual masih lagi longgar kerana standard NCAP hanya perlu dipatuhi bermula tahun 2017.

Buat masa ini, ujian perlanggaran yang perlu dilalui di India adalah untuk bahagian hadapan dan sisi (masing-masing pada 56km/j dan 50km/j). Standard baharu ujian NCAP sekarang termasuk ujian impak ‘off-set’ hadapan yang jauh lebih sukar. Kelajuan ujian NCAP juga adalah lebih tinggi iaitu 64km/j.

Tambahan lagi masih banyak model kereta di negara tersebut yang langsung tidak mempunyai beg udara. Paling menonjol adalah Volkswagen Polo; varian yang dilengkapi dua beg udara (yang turut dijual) mendapat 4-bintang, manakala yang paling asas dan tiada beg udara tidak diberikan bintang langsung (seperti video di bawah)



Pihak pengeluar, khususnya yang menerima kesan daripada perintah mahkamah ini – merangkumi 140 model berbeza – sedang cuba menyelesaikan masalah ini menerusi Persatuan Pengeluar Automobil India (SIAM).

Namun begitu, pihak Global NCAP sendiri sudah lama menasihatkan ahli-ahli SIAM untuk mengambil inisiatif dan mengikut standard NCAP baharu sekarang juga, dan tidak pada tahun 2017 sepertimana yang telah ditetapkan kerajaan.

Perbicaraan untuk membincangkan pengharaman penjualan kereta bawah 1,500kg ini akan bersambung pada 27 Ogos 2015.