PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu yang memutuskan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan PKR tidak memfitnah National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail berhubung pembelian lapan unit hartanah di KL Eco City.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zazawi Salleh yang bersidang bersama Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Harminder Singh Dhaliwal sebulat suara membuat keputusan itu.

Mereka juga mengarahkan NFCorp dan Mohamad Salleh membayar kos sebanyak RM50,000.

Dalam penghakiman ringkas yang dibacakan oleh Harminder, panel terbabit menyatakan tiada sebarang alasan yang ditemukan oleh Mahkamah Persekutuan untuk mengganggu dapatan yang dibuat oleh mahkamah terdahulu.

Pada 24 Disember 2013, Mohamad Salleh yang juga suami kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, memfailkan saman terhadap Nurul Izzah dan Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Saifuddin Nasution yang mendakwa Mohamad Salleh melakukan penyelewengan dana syarikat itu.

Dana yang diseleweng itu dikatakan digunakan untuk membeli lapan unit hartanah di KL Eco City.

Pada 10 Julai 2017, Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 4 Mac 2016 yang menolak saman mereka terhadap Nurul Izzah dan PKR selepas mendapati bekas ahli Parlimen Lembah Pantai itu tidak memfitnah Mohamad Salleh.