PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 hari ini memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh Hakim Kamaluddin dan Hakim Datuk Azizah Nawawi manakala Datuk S. Nantha Balan pula menentang.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun, menjelaskan bahawa kerakyatan yang telah diberikan kepada anak-anak daripada enam ibu warga Malaysia yang juga responden dalam kes itu akan kekal sementara menunggu rayuan mereka diputuskan di Mahkamah Persekutuan.

Status permohonan kewarganegaraan bagi anak-anak yang dilahirkan di luar negara yang masih belum selesai diproses oleh JPN akan dibekukan sementara menunggu rayuan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada kepada ibu dan bapa warganegara Malaysia secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Responden dalam kes berkenaan adalah enam ibu warganegara Malaysia dan Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers).