KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mencelah dalam prosiding petisyen perceraian antara seorang ibu tunggal Loh Siew Hong dan bekas suaminya, Muhammad Nagashwaran Muniandy, yang memeluk agama Islam bersama tiga anak mereka.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata MAIPs mempunyai kewajipan statutori berhubung kesejahteraan, pendidikan dan bimbingan terhadap saudara baharu yang memeluk agama Islam di Perlis selain menawarkan bantuan kewangan daripada dana zakat serta sokongan lain yang dibenarkan oleh syarak melalui ibu mereka.

"Dalam kes ini, ketiga-tiga anak mereka iaitu sepasang kembar perempuan berumur 14 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 telah memeluk agama Islam di Perlis, jadi MAIPs mempunyai lokus standi untuk menjadi pencelah.

"Ketika ini, bapa mereka menjalani hukuman penjara di Kelantan atas kesalahan jenayah. Anak mereka kini di bawah jagaan si ibu yang beragama Buddha. Jika kanak-kanak terbabit beragama Islam maka MAIPs mempunyai hak untuk mencelah.

"Sama ada penukaran agama ketiga-tiga beradik sah atau tidak bukan isu di hadapan mahkamah yang mulia ini. Isu di sini adalah kebajikan mereka dan bukan agama. Kami ke sini bukan untuk campur tangan dalam isu berkaitan hak penjagaan si ibu.

"Bagaimanapun, selepas penukaran agama, MAIPs berperanan sebagai penyelia bagi memastikan mualaf mempunyai akses kepada pendidikan dan bimbingan mengenai agama Islam," katanya.

Peguam A.Srimurugan, yang mewakili Loh, pula berhujah MAIPs tidak harus dibenarkan mencelah dalam kes ini kerana Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (AMU) menentukan isu perkahwinan dan perceraian individu bukan Islam sekali gus menghalang penglibatan sebuah Majlis Agama Islam Negeri.

"Kes yang dirujuk oleh rakan saya (pasukan perundangan MAIPs) adalah mengenai pihak yang dikaitkan dengan perkahwinan itu dan bukan orang luar atau penyibuk.

"Mereka (MAIPs) tidak boleh datang ke mahkamah ini dan cuba mengubah perintah hak penjagaan untuk memberitahu Loh cara membesarkan anak-anaknya. Ia (AMU) tidak melibatkan entiti korporat atau agama. Perkataan 'individu berkepentingan' (dalam AMU) harus ditafsir dengan teliti demi kepentingan anak-anak yang terbabit.

"Malah anak-anak Loh tidak dilahirkan di Perlis. Mereka hanya dibawa ke sana dalam sehari dua, mungkin hanya beberapa jam, untuk ditukarkan agama secara sebelah pihak oleh bapa mereka. Beliau tetap melakukannya meskipun hak penjagaan mereka telah diberikan kepada isterinya oleh mahkamah," katanya.

Pada peringkat ini, Mohamed Haniff Khatri bangun dan membantah hujah Srimurugan yang melabel MAIPs sebagai 'penyibuk' serta menegaskan bahawa mereka sekadar melaksanakan tanggungjawab dari segi perundangan bagi memastikan kebajikan ketiga-tiga anak Loh terpelihara.

Beliau berkata enakmen negeri Perlis memberikan kuasa kepada MAIPs untuk menyediakan pendidikan agama kepada mana-mana mualaf yang berdaftar di negeri itu meskipun mereka kini menetap di negeri lain. Loh dan anak-anaknya kini menetap di Selangor.

"MAIPs mempunyai kewajipan statutori dan mereka tidak ingin menjadi penyibuk. Kita tidak seharusnya hanya memfokus kepada hak si bapa atau si ibu sebaliknya lebih kepada hak anak-anak mereka.

"MAIPs mengambil berat tentang kebajikan kanak-kanak terbabit kerana laporan berita sebelum ini menunjukkan bahawa mereka masih mengamalkan ajaran Islam meskipun berada di bawah jagaan Loh (bukan Islam)," katanya.

Hakim Evrol Mariette Peters kemudian menetapkan 15 Jun depan untuk memutuskan sama ada memberi kebenaran kepada MAIPs untuk menjadi pencelah dalam petisyen perceraian itu atau sebaliknya.

Pada 7 Mac lepas, MAIPs memfailkan permohonan sebagai pencelah bagi membolehkan ia mempunyai lokus standi untuk memohon perubahan ke atas syarat perintah hak penjagaan tunggal yang diberikan kepada Loh.

Pada 21 Feb lepas, ketiga-tiga beradik yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diserahkan kepada Loh setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpus wanita itu.

Dalam notis usulnya pada 13 Feb lepas, Loh telah menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan satu lagi pihak yang tidak dinamakan namun didakwa mempunyai hak penjagaan ke atas ketiga-tiga anaknya sebagai responden kedua.

Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai daripada mahkamah untuk memaksa ketiga-tiga beradik dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden dan supaya mereka dikembalikan kepadanya.

-- BERNAMA