KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan dana zakat berjumlah RM76,918,556.50 kepada asnaf menerusi pelbagai program dan inisiatif sepanjang Ramadan tahun ini.

Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata sebahagian daripada Bantuan Aidilfitri yang berjumlah lebih RM31 juta telah disalurkan kepada golongan asnaf pada awal Ramadan untuk persediaan sambutan hari raya.

"Insya-Allah, esok kami (MAIWP) akan terus membayar baki sumbangan RM1,000 (pembayaran fasa kedua) kepada semua penerima bulanan kami iaitu 30,000 keluarga golongan asnaf di kawasan Kuala Lumpur," katanya kepada media selepas Majlis Iftar Perdana dan Bantuan Aidilfitri MAIWP di sini hari pada Ahad.

Selain itu, beliau berkata seramai 278 anak asnaf Darul Kifayah akan menerima duit raya RM300 seorang berserta sepasang pakaian, iaitu bantuan itu merupakan sebahagian daripada Bantauan Aidilfitri tersebut.

"Zakat tersebut diagih kepada pelbagai lapisan asnaf dalam pelbagai cara untuk kami memudah cara kehidupan termasuklah jamuan makan malam, jamuan iftar dan juga sumbangan wang hari raya.

"Pelajar institut pengajian tinggi yang balik kampung turut mendapat tajaan tiket bas daripada kami. Akan datang, kami sediakan program kepada pesakit di hospital sepanjang hari raya nanti," katanya.

Mohd Daud berkata program berkenaan adalah pendekatan bagi memberi satu manifestasi kepada pembayar zakat mengetahui bahawa sumbangan mereka digunakan untuk membantu golongan tersebut.

Beliau berkata MAIWP turut menawarkan 30 skim bantuan zakat yang merangkumi bantuan aspek keperluan asasi, pendidikan, bantuan berdikari, kebajikan dan dakwah.

-- BERNAMA