KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperuntukkan RM3 juta bagi membantu usahawan dari golongan asnaf bagi mendepani cabaran pandemik COVID-19.

Ia dilaksanakan di bawah program Musa’adah Tijariyyah 2.0 dan Inspirasipreuner.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, berkata bantuan itu akan memberi manfaat kepada 1,000 penerima yang layak selain sebahagian usaha untuk mengeluarkan mereka daripada kemiskinan dan berubah sebagai pembayar zakat.

“Pagi ini kita telah dapat untuk sama-sama dengan penerima Musaádah Tijarriyah 2.0 yang merupakan sebahagian daripada penerima yang telah pun dapat kita beri kepada mereka.

"Inisiatif ini, bukan hanya membantu asnaf dengan memberi bantuan bersifat “ikan” sahaja, bahkan memberikan mereka “joran” atau “kail” yang kita harapkan dapat membela rakyat terutamanya kepada  mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya ketika merasmikan kedua-kedua program tersebut di ibu negara pada Isnin.      

Beliau menambah, tempoh pelaksanaan bantuan itu bermula 14 Oktober sehingga 18 November 2021 dan terdapatnya peningkatan sebanyak lapan peratus dalam pelaksanaan aktiviti zakat berbanding tahun lepas meskipun rakyat terpaksa berhadapan wabak membawa maut, COVID-19.

“Sebagaimana kita sedia maklum, impak COVID-19 ini turut terkesan kepada kumpulan M40 yang tidak terkecuali sehingga ada terpaksa menghadapi realiti bahawa mereka kini di bawah kumpulan B40.

“Jadi atas rasa prihatin, khususnya di kalangan peniaga dan usahawan kecil ini menyebabkan kita telah mengambil inisiatif memberikan satu peruntukan kepada mereka untuk memulakan kembali perniagaan atau menambah lagi modal pusingan perniagaan.

“Sebelum ini, program Masaádah Jarriyah 2.0 ini hanyalah seramai 700 orang namun kita pertingkatkan kepada 1,000 orang atas permohonan dan permintaan orang ramai.Inilah antara  inisiatif yang kita mahu berikan kepada rakyat di negara ini buat meringankan beban yang mereka tanggung,” katanya lagi.

Antara mereka yang hadir pada majlis perasmian Program MusaƔdah Tijariyyah 2.0 (MAIWP) dan Inspirasipreuner (YaPEIM), di ibu negara pada Isnin. (Dari kiri Pemangku KPE (MAIWP), Mohd NizamYahya, Ahli (MAIWP), Dr Yusri Mohamad, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (YaPEIM), Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Ketua Pengarah (YaPEIM), Mohd Ridzal Sheriff. - Foto MAIWP

Selain itu, pihak (YaPIEM) turut mengendalikan kursus transformasi minda kepada para usahawan sebagai salah satu cara untuk  mereka menambah ilmu sekali gus mengilap bakat atau potensi dalam dunia perniagaan.

“Tidak terhenti sekadar modal, sebagai nilai tambah kepada bantuan modal yang diberikan, penerima inisiatif ini juga akan diberikan kursus transformasi minda yang menjadi syarat sebelum bantuan disalurkan. Ini adalah salah satu cara untuk mereka membuat persediaan dan perancangan sebelum memulakan perniagaan,” katanya. 

Di samping itu beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan yang menunaikan zakat kepada (MAIWP) dan Pusat Pungutan Zakat (MAIWP) kerana tanpa komitmen tersebut program ini tidak dapat dilaksanakan secara optimum dan menyeluruh.

Turut hadir Ahli MAIWP, Dr Yusri Mohamad, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (MAIWP), Mohd Nizam Yahya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (MAIWP), Mahadi Sukarno, Ketua Pengarah (YaPEIM), Rizal Sheriff dan Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan (YaPEIM), Parihah Hasan.

Sebelum ini program Musa’adah Tijariyyah 1.0 telah dilancarkan pada bulan Mac 2021 yang telah berjaya menyantuni seramai 1,057 orang usahawan dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.17 juta.