Majikan disarankan agar mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mengamalkan konsep '3C' bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hisham Abdullah, konsep tersebut adalah mengelakkan kawasan sesak (crowded places); tempat sempit (confined spaces); dan bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

Ia susulan terdapat laporan sebelum ini berhubung pekerja asing tinggal bersesak-sesak dalam satu unit kediaman.

"Kita berharap kelaziman baharu ini dapat diamalkan oleh majikan-majikan dan juga individu-individu yang terlibat.

"Jadi, kalau kita amalkan kaedah baharu sebagai budaya kita, Insya-Allah kita dapat mencegah dan memutuskan penularan COVID-19 dalam masyarakat," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Isnin.

Sebelum ini KKM memaklumkan warga Bangladesh berkongsi kediaman sama dengan 18 orang lain sehingga mengakibatkan berlaku jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja terbabit.