Majikan disaran amalkan '3C' elak penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja

Hasimi Muhamad
Mei 11, 2020 10:49 MYT
Antara warga asing yang terlibat dalam proses dokumentasi dan kesihatan oleh agensi penguatkuasaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Masjid India. - Gambar BERNAMA
Majikan disarankan agar mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mengamalkan konsep '3C' bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hisham Abdullah, konsep tersebut adalah mengelakkan kawasan sesak (crowded places); tempat sempit (confined spaces); dan bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).
Ia susulan terdapat laporan sebelum ini berhubung pekerja asing tinggal bersesak-sesak dalam satu unit kediaman.
"Kita berharap kelaziman baharu ini dapat diamalkan oleh majikan-majikan dan juga individu-individu yang terlibat.
"Jadi, kalau kita amalkan kaedah baharu sebagai budaya kita, Insya-Allah kita dapat mencegah dan memutuskan penularan COVID-19 dalam masyarakat," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Isnin.
Sebelum ini KKM memaklumkan warga Bangladesh berkongsi kediaman sama dengan 18 orang lain sehingga mengakibatkan berlaku jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja terbabit.
#Bangladesh #close conversation #confined spaces #COVID-19 #crowded places #Dr Noor Hisham Abdullah #jarak dekat #kawasan sesak #Kementerian Kesihatan #KKM #konsep 3C #koronavirus #majikan #pekerja asing #PKP #tempat sempit